Pages

Tuesday, 27 March 2012

Misteri Penumpang Teksi ~

***
Para pemandu taxi memang orang yang selalu dan kerap diganggu. Itu benar kerana mereka sering keluar sehingga ke tgh malam untuk mencari rezeki.. Tetapi itu lah risiko yang terpaksa mereka hadapi untuk sesuap nasi..ikuti kisah saudara ini ye sbb aku pernah dengar kisah ni semasa aku dengar MJ12 tahun lepas. ~
***
~ wowwAida!!! ~

-----Original Message-----
From: insyirah shahrul zulkarnain <insyirah23@gmail.com>
Date: Tue, 27 Mar 2012 22:43:03
To: aida gorgeous<aidagorgeous19@gmail.com>
Subject: kisah seram Misteri Penumpang Teksi

selamat malam pembaca kisah seram... hihihihi...

Berikut merupakan kisah yang saya alami tidak lama dulu ketika saya
bertugas malam sebagai pemandu teksi. Pada pukul dua pagi itu saya
dikejutkan dengan suara operator telefon radio teksi membuat
panggilan. "Ada penumpang dari Kondo di Dairy Farm Crescent nak ke
Scotts Road, pemandu yang berada berdekatan dengan kawasan itu sila
lapor…" suara operator halus keluar daripada alat perhubungan.

Tanpa berfikir panjang saya terus menyambut panggilan dan menyatakan
sanggup mengambil penumpang itu. Dari Jalan Teck Whye saya membelok ke
kiri menghala ke Upper Bukit Timah Road. Malangnya, kira-kira lima
minit kemudian operator memberitahu supaya saya tidak terus ke kondo
tersebut kerana teksi lain telah pun mengambil penumpang itu. "Dah
dekat nak sampai ni," saya beritahu operator. "Janganlah marah, saya
pun tak tahu. Teksi itu tak lapor pun, tiba-tiba saja beritahu dah
ambil penumpang itu," suara operator membela diri.

"OK… saya pusing balik," kata saya, sedikit kecewa dengan apa yang
berlaku. Sudah alang-alang berada di Upper Bukit Timah Road, lebih
baik saya teruskan perjalanan hingga ke kondo tersebut. Manalah tahu
kalau-kalau ada penumpang lain. Jika tak ada pun tak apalah, asalkan
hati puas. Sewaktu tiba di pondok pengawal kondominium tersebut, tidak
ada sesiapa pun di situ. Kemudian saya buat pusingan-U dan berpatah
balik. Saya pandu kereta perlahan-perlahan. Di kiri dan kanan semuanya
nampak gelap, hanya kelihatan bayang-bayang hitam pokok-pokok.

"Screeeeeeet!!!!!" Tayar kereta berdecit apabila brek ditekan
mengejut. Nyaris-nyaris saya terlanggar perempuan di tepi jalan yang
sedang melambai-lambaikan tangan menahan teksi saya. "Wow! Cantik…
seksinya cun-melecun," sepontan keluar dari mulut saya apabila nampak
wanita dalam lingkungan umur 20-an tahun memakai gaun merah pendek.
Gaun tanpa lengannya ketat hingga menampakkan susuk tubuh yang
menggiurkan. Saya terpaku juga dengan keayuan gadis itu.

Saya turunkan cermin tingkap untuk bertanya. Gadis berambut panjang,
hidung mancung, berkulit putih dan bermata galak itu tersenyum. "Lim
Chu Kang," ringkas jawabnya dalam pelat Cina. "Ok, boleh…" jawab saya.
Gadis itu terus membuka pintu belakang. Alamak…! Minyak wangi apa yang
dipakai harum semerbak seperti bau bunga-bunga segar yang sedang mekar
hingga menusuk ke hidung.

Saya terus memandu menyusuri selekoh tajam jalan di situ untuk menuju
keluar ke Upper Bukit Timah Road arah bandar, dan kemudian membuat
pusingan-U di jalan susur ke arah Woodlands sebelum belok kiri ke Choa
Chu Kang Road untuk ke Lim Chu Kang Road. Sambil memandu dalam kawasan
estet Dairy Farm itu saya sempat menjeling ke cermin, kelihatan
perempuan itu tersandar di tempat duduk dengan mata terpejam. Fikiran
saya terus melayang memikirkan keberanian perempuan itu berjalan
seorang diri di dalam gelap. Namun saya tidak berani bertanya kerana
bimbang dituduh menjaga tepi kain orang.

Tiba-tiba terasa tengkuk saya disentuh jari-jemari. Sejuk seperti air
batu. Saya tepis tangan gadis itu dan menyuruhnya duduk baik-baik.
Namun tengkuk saya terus juga diraba dengan gaya menggoda. Saya tepis
tangan perempuan itu. "Miss, you jangan buat macam itulah," kata saya.
Perempuan itu tidak mempedulikan kata-kata saya. Dia terus juga meraba
dan membelai tengkuk, bahu serta rambut saya. Kali ini saya bersuara
dengan lebih keras sekaligus memandang ke cermin. Saya merenung cermin
agak lama kerana tidak pasti apa yang dilihat.

"Ya Allah! Eh! Betul ke ni?" saya bercakap sendiri. Kemudian saya
pasang lampu. Perempuan itu menyeringai, mukanya menggerutu. Mengalir
darah dan nanah dari kudis-kudis di pipi, dagu dan dahinya. Kelihatan
kedua-dua matanya tersembul keluar. Saya terus tekan brek sekuat-kuat
hati, kemudian memutar stereng untuk berpatah balik ke pondok pengawal
di kondo tadi. Jari-jemari berkuku panjang terus meraba-raba dan
membelai tengkuk saya. Beberapa kali saya cuba membaca Ayat Kursi tapi
lintang-pukang tidak tahu yang mana harus dibaca dulu. Lidah saya
kelu. Kemudian saya cuba pula baca surah Al-Fatihah. Pun sama juga,
tak berjaya!

Teksi yang saya pandu sekejap ke tepi sekejap ke tengah. Saya bimbang
jika jari-jari itu akan mencekik leher saya. Saya tekan minyak sekuat
kaki, supaya cepat sampai ke kondo tadi. Peluh dingin mengalir
membasahi baju, rasa macam nak terkencing. Lutut menggeletar, seluruh
badan seram sejuk. Semakin laju kereta semakin lebar perempuan itu
tersengih di cermin. Hampir-hampir besi penghalang di pintu pagar
kondo saya langgar. "Tolong! Tolong!" saya menjerit sambil membuka
pintu teksi sebaik sampai ke bilik pengawal. Malangnya saya jatuh
tersembam, kaki lembik tidak mampu untuk berdiri atau berjalan. Saya
cuba bangun tapi tidak berdaya, terasa lemah seluruh badan. Saya
merangkak pula.

"Tolongggggggggggggggg!" saya menjerit lagi sambil merangkak kemudian
meniarap seperti askar untuk ke pondok pengawal yang jaraknya hanya
dua meter. Dua orang pengawal keselamatan berlari mendapatkan saya.
"Kenapa bang?" tanya mereka dengan muka cemas. Saya hanya menunjuk ke
arah teksi dengan tangan saya yang menggeletar seperti orang kena
sawan. Mereka segera berlari ke teksi, tertunduk-tunduk mengintai dari
cermin tingkap. Yang kelihatan hanya wanita berambut panjang memakai
gaun merah. Perlahan-lahan pintu belakang dibuka dan benda putih
terbang keluar daripada teksi saya. Pengawal lari lintang-pukang masuk
ke pos pengawal dan mengunci pintu dari dalam.

Uwekkkkk! Uwekkkkkk! Saya hanya memerhatikan kedua-dua pengawal itu
termuntah-muntah. Tidak ada apa yang mampu saya lakukan kecuali
memandang sahaja. Bau bangkai dari dalam teksi saya mula menyelinap
masuk ke lubang hidung saya. Saya cuba tahan supaya isi perut tidak
terburai, tapi tidak mampu. Saya termuntah sama. Malam itu saya tidak
mampu untuk memandu. Hilang semangat langsung, tambah-tambah lagi bau
itu masih melekat di dalam teksi.

Menjelang Subuh tiga orang kawan saya datang untuk membawa saya
pulang. Teksi itu saya tinggalkan di kawasan berhampiran dengan pondok
pengawal. Sejak peristiwa itu, saya tidak berani mengambil
penumpang-penumpang di kawasan-kawasan terpencil, sepi dan gelap
selepas tengah malam, walaupun ditawarkan bayaran berkali-kali ganda,
walaupun seribu dollar ke atas.

1 comment:

  1. pengalaman driver teksi yg sangat serammmmmm. aku berulang kali baca. Janganlah mengambil penumpang kat tempat yg sunyi dan gelap.

    ReplyDelete